Friday, September 11, 2009

Amalan Lestari

1.0 PENGENALAN

Industri kelapa sawit di Malaysia pada masa ini digesa mengguna pakai teknologi baharu bagi pengeluaran yang lestari dan pendekatan yang mesra alam sekitar. Kebimbangan terhadap pengeluaran lestari dan alam sekitar dijangka meningkat di masa depan apabila permintaan bagi pengeluaran lestari dan pengesanan dalam pengeluaran makanan dan bukan makanan, semakin bertambah. Dalam aspek ini, kerajaan telah memperkenalkan Akta Alam Sekitar 1974.
Konsep lestari atau mampan selalunya dikaitkan dengan kualiti kehidupan yang merangkumi sistem ekonomi, sosial dan persekitaran bagi menjamin keselesaan hidup
dan persekitaran yang sihat dan produktif. Kesemua pengertian pembangunan lestari yang telah diterimapakai memuatkan tema sejagat utama iaitu merangkumi aspek persekitaran (environment), masa depan (futuristic) dan kesaksamaan (equity). (Pembangunan Pelancongan Lestari di Felda Gugusan Trolak: Satu Analisis Oleh Dr. Fatimah Hassan,USM dan Dr. Fauziah Che Leh, UPSI)

Didapati bahawa daripada pelbagai pengertian konsep pembangunan lestari yang wujud, kesemua definisi pasti merangkumi istilah utama iaitu:
• Kehidupan tanpa melampaui sempadan
• Memahami persepaduan antara aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar.
• Keadilan dalam pembahagian sumberjaya dan peluang

Blowers (1993) merumuskan bahawa matlamat pembangunan lestari ialah untuk:

a)pemuliharaan sumber - iaitu memastikan agar wujud penggantian sumber
atau kepelbagaian sumber, pengurangan penggunaan sumber yang tidak
boleh dijana dan penggunaan efektif. supaya
sumber semulajadi masih wujud pada masa sekarang dan akan datang
berkesinambungan.

b)pembangunan fizikal – iaitu memastikan pandang darat budaya dan
pembangunan hasil binaan manusia membawa manfaat dan peluang yang
maksimum dan bersinergi dengan alam semulajadi.

c)peningkatan kualiti alam sekitar – dengan mengelakkan pembangunan yang
mengancam atau menjejaskan kualiti kehidupan, mengelakkan
pencemaran alam dan melindungi ekosistem.

d)kesaksamaan sosial – iaitu memastikan pemerolehan dan kawalan sumber
yang lebih wajar bagi menggalakkan pembangunan yang dapat mengurangkan ketidaksamaan sosial.

e)penyertaan politik – iaitu menggalakkan penyertaan komuniti dalam
membuat keputusan pembangunan kawasan masing-masing dalam
aspek pembangunan ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Oleh itu dapatlah dirumuskan bahawa dalam pembangunan lestari, objektifnya adalah
untuk kesejahteraan masyarakat dalam konteks yang bersepadu antara aspek ekonomi
sosial dan ekologi serta alam sekitar. Hal yang sama juga relevan dalam industri perladangan kelapa sawit hari ini.

2.0 Aktiviti dalam tahap penanaman pembukaan ladang kelapa sawit

Dalam pembangunan penanaman ladang kelapa sawit, terdapat beberapa tahap aktiviti yang dilakukan diantaranya adalah seperti berikut:
a)Penyediaan pelan pembangunan ladang dan bajet kewangan
b)Penyediaan dan pengurusan tapak semaian
c)Pengukuran sempadan dan pembahagian blok
d)Menebas dan menebang kawasan yang ingin ditanam
e)Cincang dan susun
f)Pembinaan infrastruktur – jalan, jembatan dan teres
g)Kawalan rumpai dan haiwan perosak
h)Penanaman dan penyenggaraan tanaman penutup bumi
i)Penentuan jarak tanaman, persediaan lubang tanaman seterusnya penanaman kelapa
sawit

Untuk melaksanakan kerja-kerja tersebut, perhatian hendaklah diberikan kepada aspek pembangunan lestari dengan konsep ekonomi ekologi yang menerapkan Kegiatan Pertanian yang Baik atau Good Agriculture Practices (GAP). Menurut badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-FAO), terdapat empat prinsip utama dalam GAP iaitu:

1)Makanan dihasilkan dengan harga yang berpatutan, effisien, selamat dan berkhasiat

2)Melestarikan dan meningkatkan sumber-sumber alami seperti tanah, air, tumbuhan dan haiwan serta kepelbagaian organisma tersebut

3)Menggalakan aktiviti pertanian pertanian dan menyumbang kepada kegiatan sara-hidup secara mapan.

4)Boleh menyesuaikan dan menepati keperluan budaya dan masyarakat setempat




2.1 Penyediaan Pelan Pembangunan, Tapak Semaian Dan Pengukuran Sempadan

Langkah pertama iaitu penyediaan pelan pembangunan dan bajet kewangan perlu disediakan oleh organisasi yang ingin membuka ladang kelapa sawit. Semua peringkat kerja mestilah disusun mengikut jadwal waktu pelaksanaan (working schedule timeframe) yang mengambil kira faktor cuaca, keadan mukabumi, kesuburan tanah, kedudukan lokasi dari pusat penyediaan bahan dan peralatan, kemampuan persediaan tenaga kerja dan sebagainya.

Tapak semaian biasanya disediakan lebih awal sebelum kerja-kerja pembukaan ladang dilakukan. Tempat yang ditentukan bukan sahaja di kawasan rata tetapi juga berhampiran dengan sumber air. Sistim pengairan mestilah di bina dengan baik agar sisa simbahan air dari tapak semaian tidak mengalir kedalam sumber-sumber air seperti kolam dan sungai. Ini untuk mengelakkan sisa bahan kimia dan baja yang dihanyutkan dari tapak semaian tidak mencemarkan sumber air tersebut.

Pengukuran sempadan dan blok dilakukan untuk memastikan kawasan yang dibuka untuk dibangunkan sesuai dengan geran tanah yang telah diluluskan oleh agensi kerajaan yang berkaitan dan tidak menceroboh kekawasan hutan lindung atau kawasan orang lain. Sempadan yang telah ditentukan ditanam dengan tanda batu sempadan (boundary stone) dan juga di berikan tanda kayu sempadan (boundary pegs) yang diberikan warna terang, contohnya berwarna merah dan kuning agar senang dilihat dari jarak jauh.


2.2 Pembukaan Ladang

Kerja-kerja menebas, menebang pokok, cincang dan menyusun potongan kayu yang rebah menggunakan mekanikal kini menjadi piawai kerja untuk pembukaan ladang kelapa sawit. Pembersihan sisa pokok yang ditebang dengan cara pembakaran terbuka tidak lagi dilakukan dan dilarang disisi undang-undang. Hal ini disebabkan pembakaran terbuka menyebabkan terlepasnya habuk, debu dan gas-gas toksik seperti karbon dioksida yang merbahaya dan mengancam kesihatan manusia, haiwan dan tumbuhan. Jerebu yang dihasilkan dari pembakaran terbuka menyebabkan tahap Indeks Pencemaran Udara (IPU) merosot dan dengan tiupan angin menyebarkan jerebu tersebut kekawasan penempatan manusia dan hutan disekitar kawasan pembukaan ladang.


Untuk kawasan tanaman semula (replanting area), batang pokok-pokok kelapa sawit yang ditebang di cincang tipis (chipping) menggunakan mesin excavator dan dibiarkan reput diantara barisan kelapa sawit. Hal ini juga turut membolehkan proses kitar-semula sisa pokok kelapa sawit sebagai baja organik (MPOB TOT No.416, Oil Palm Replanting Innovative Technique, Dr. Khalid Harun).

Kerja-kerja seterusnya adalah melakukan pembinaan jalan, saliran, jembatan dan ditempat lereng bukit <20 darjah dibina teres untuk memudahkan kerja-karja dilaksanakan dan sekaligus sebagai langkah mengurangkan hakisan tanah dikawasan tersebut. Kerja-kerja infrastruktur ladang ini perlu dilakukan untuk menyiapkan ladang sebelum kerja-kerja penanaman kacang penutup bumi dan kelapa sawit dilakukan. Ia juga memudahkan kerja-kerja pengawalan rumpai dan haiwan perosak.

2.3 Persediaan Ladang, Penanaman Kacangan Penutup Bumi

Persediaan ladang dengan menggunakan racun untuk mengawal rumpai dan pokok kayu renek biasa dilakukan dalam pembukaan ladang kelapa sawit. Penggunaan racun perosak hendaklah dilakukan oleh pekerja yang terlatih dan dilengkapi dengan peralatan dan kelengkapan yang sesuai dan selamat (Personal Protection Equipments – PPE) seperti sarung tangan, jubah apron, kacamata keselamatan dan penutup mulut dan hidung. Sisa racun mestilah dikembalikan kegudang yang menyimpan bahan-bahan beracun dengan menerapkan ciri-ciri keselamatan yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar. Bekas-bekas racun mestilah dilupuskan dengan betul, contohnya di tanam dalam lubang yang ditutup. Dikawasan ladang yang sudah boleh dituai, penerapan sistim biologi menggunakan haiwan pemangsa dilakukan untuk mengawal haiwan perosak, contohnya menggunakan burung hantu untuk mengawal haiwan perosak tikus.

Penanaman kacang penutup bumi (land cover crop – LCC) dilakukan diantara barisan kelapa sawit yang sudah ditandakan. Penanaman LCC mestilah mengikut piawaian yang ditetapkan terutama lereng-lereng bukit untuk mengelakkan kawasan tanah terbuka terdedah kepada hakisan semasa dimusim hujan.

Kesan dari penanaman LCC juga menyuburkan tanah dan menggalakan organisma mikro- dan makro- berkembang biak dibawah lapisan tanamannya yang lembab dan menggemburkan tanah. Penggunaan tanaman Mucuna B. pada masa kini sangat efektif untuk tujuan ini.

Penanaman kelapa sawit dilakukan setelah penentuan poin tanaman dilakukan (lining planting points) dan dilakukan menurut piawaian yang telah ditetapkan untuk memastikan semua kawasan ditanam secara maksimum. Contohnya, penanaman menggunakan sistim segitiga dengan jarak tanam 30 x 30 x 30 kaki atau sistim teres untuk kawasan lereng bukit.

Ada juga cadangan untuk melakukan penanaman campuran antara-baris dengan tanaman lain dengan ukuran jarak tanaman yang berbeza. Tujuannya adalah untuk memanfaatkan tanah semaksimum mungkin sekaligus menambah nilai hasil kawasan dengan tanaman “cash-crop” seperti pisang, nenas, kacang tanah, kacang soya dan tebu (MPOB TOT No.424, Double-row Avenue System for Crop Integration with Oil Palm, Suboh Ismail, Norkaspi Khasim dan Raja Zulkifli Raja Omar). Ini menunjukkan penanaman kelapa sawit membantu amalan lestari dalam aspek memberikan alternatif persediaan makanan untuk masyarakat secara effisien dalam penggunaan kawasan tanah perladangan.

3.0 Kesan terhadap alam sekitar dan cadangan langkah-langkah menanganinya

Dalam aktiviti penanaman kelapa sawit, selain memastikan pekerjaan yang dilakukan mengikuti piawaian lazim industri perladangan kelapa sawit, pengusaha ladang kelapa sawit masakini mestilah juga peka kepada tuntutan pengguna yang semakin sedar tentang amalan lestari dan pendekatan ekonomi ekologi yang mesra alam. Hal ini penting untuk memastikan produk yang dihasilkan boleh terus bersaing di pasaran. Diantara perkara yang perlu diberikan perhatian adalah mengenalpast sumber-sumber jana semula dan sumber-sumber yang tidak boleh dijana semula dalam konteks penanaman perladangan kelapa sawit.


3.1 Sumber-sumber Jana Semula

Diantara sumber-sumber jana semula termasuklah air, udara, haiwan dan bahan makanan.

Air - Penggunaan air untuk perumahan pekerja di penempatan ladang kelapa sawit, tapak semaian, dalam pekerjaan kawalan perosak tanaman, dikilang-kilang dan sebagainya menunjukkan betapa pentingnya sunber air tawar dalam pembangunan di bidang pertanian. Dengan demikian adalah penting sumber-sumber air seperti kolam dan sungai dipelihara dan dilindungi. Kawasan tadahan dan sekitar kawasan sumber air mestilah tidak diganggu dan dirusakkan dengan tidak menebang pokok-pokok dipinggir kolam dan tebing sungai mengikut jarak yang telah ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar. Pembinaan jalan, teres, jembatan dan saliran juga penting dilakukan dengan pelan yang mempertimbangkan faktor topografi tanah dan tidak mengakibatkan sisa buangan air mengalir langsung ke sumber-sumber air yang ada.

Udara - Dikawasan perladangan kelapa sawit, udara yang ada biasanya segar dan nyaman, sama seperti dikawasan hutan. Tetapi di kawasan pembangunan penanaman kelapa sawit yang baru dibuka, kegiatan membakar secara terbuka dimasa lalu menyebabkan pencemaran udara oleh asap yang menjejaskan kesihatan manusia dan memberi kesan buruk kepada alam sekitarnya.

Ini menyebabkan tahap Indeks Pencemar Udara (IPU) merosot dan sekiranya angin meniup dan menyebabkan asap jerebu tersebar di kawasan penempatan manusia dan hutan disekitarnya, ini boleh menyebabkan gangguan kesihatan dan mengancam keselamatan manusia, haiwan dan habitat.


Berikut adalah contoh tahap IPU yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar:

Indeks Pencemar Udara (IPU) di Malaysia

IPU Pengkelasan
0-50 Sihat
51-100 Sederhana
101-200 Tidak Sihat
201-300 Sangat tidak sihat
301-500 Berbahaya
> 500 Sangat berbahaya

 Sumber: JAS 1997


Pembakaran terbuka kini dilarang dan kilang-kilang kelapa sawit juga kini mestilah mematuhi piawaian berkenaan pelepasan asap kilang yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar sebelum diberikan lesen untuk beroperasi. Hal ini penting untuk mengurangkan Kesan Rumah Hijau iaitu satu fenomena yang berlaku kerana pencemaran udara. Kesan rumah hijau berlaku kerana pemerangkapan haba oleh gas-gas rumah hijau. Antara beberapa jenis gas rumah hijau yang biasa didapati ialah karbon dioksida, sulfur dioksida dan oksida nitrogen. (Internet Reference: http://cendawanglobal.blogspot.com/2009_03_01_archive.htm)

Dikawasan perumahan, kilang, bengkel dan pejabat, tanaman pokok pelindung dan pembinaan taman-taman hijau (green parks) dilakukan sebagai sebahagian dari program penghijauan yang boleh menolong mengurangkan kesan panas dari haba matahari sekaligus memberikan sumber oksigen melalui proses fotosintesis dari tanaman tersebut.

Haiwan - Aktiviti pembangunan penanaman kelapa sawit boleh mengakibatkan haiwan disekitar kawasan yang diterokai seperti gajah, badak, orang utan, monyet, tapir, babi hutan, seladang, pelanduk dan sebagainya tersisih dan lari kehutan berhampiran. Adalah penting pembukaan ladang dilakukan bukan dikawasan luar sempadan yang diizinkan seperti di kawasan paya bakau, hutan lindung negara dan tebing sungai. Ini desebabkan kawasan-kawasan tersebut telah ditentukan oleh kerajaan sebagai kawasan perlindungan untuk haiwan liar tadi (wildlife protected areas). Sebagai langkah keselamatan, pembinaan parit besar atau pagar elektrik biasanya digunakan disepanjang sempadan dengan kawasan hutan untuk menyekat haiwan liar tadi memasuki kawasan ladang. Penanaman kelapa sawit tidak mengancam kehidupan haiwan liar disekitarnya sekiranya langkah-langkah keselamatan dan perlindungan habitat dilakukan secara bersepadu dan saling menguntungkan.

3.2 Sumber-sumber Tidak Boleh Jana Semula

Diantara sumber-sumber yang tidak boleh dijana semula adalah seperti bahan logam, bahan api fosil dan air bawah tanah.

Bahan logam – Dalam perladangan kelapa sawit, bahan logam sering digunakan sebagai peralatan, alat berat, bahan perumahan, dibengkel, pejabat dan dikilang kelapa sawit. Sisa bahan-bahan ini yang tidak digunakan lagi perlu dilupuskan dengan cara kitar-semula. Tong-tong sampah kitar-semula perlu disediakan supaya bahan-bahan sisa logam boleh dikirim kepusat-pusat daur-ulang yang boleh memanfaatkan bahan tersebut.

Bahan api fosil – Sumber bahan api fosil bukanlah sumber yang berkekalan untuk selamanya. Ia akan habis disuatu masa akan datang dan kadar penggunaan tenaga oleh manusia dimasakini memaksa kita mencari sumber tenaga alternatif lain. Di perladangan kelapa sawit, contoh tenaga yang boleh diterapkan adalah seperti tenaga solar, angin dan air melalui mini-hidro yang dibuat khas tanpa perlu mengubah kawasan rendah dihilir sungai menjadi danau buatan.

Contoh penggunaan tenaga solar adalah dikawasan perumahan dimana sistim solar digunakan untuk memanaskan air untuk digunakan di bilik mandi. Selain daripada itu, industri kelapa sawit juga turut menyumbang kepada pencarian alternatif pengurangan penggunaan bahan api fosil melalui teknologi biodiesel yang dihasilkan dari produk hiliran industri kelapa sawit itu sendiri.

Sumber air bawah tanah – Seperti sumber air yang lain, sumber air bawah tanah perlu dijaga dan dilestarikan. Contohnya kawasan dengan sumber air bawah tanah perlu dibina konkrit yang menutup punca air tersebut dan dipagar. Untuk tujuan memanfaatkan air yang mengalir keluar, satu sistim saliran menggunakan paip boleh dibina keluar daripada kotak konkrit dan disalirkan ke kolam buatan. Pam air tidak seharusnya dipasang untuk mengepam air dari sumber tersebut kerana ini akan merosakkan punca air bawah tanah tersebut.

4.0 Amalan Lestari dalam Penanaman Kelapa Sawit

Amalan lestari adalah satu konsep pembangunan ekonomi yang menggunakan sumber-sumber dengan kaedah dan teknologi yang mesra alam, sesuai dengan budaya dan latarbelakang masyarakat yang adil untuk semua pihak tanpa memupuskan sumber-sumber yang ada untuk generasi masa depan dengan keutamaan melaksanakan secara pro-aktif dengan kesedaran pemuliharaan alam sekitar yang berterusan.


4.1 Cara-cara pelaksanaan Amalan Lestari di perladangan kelapa sawit

Langkah-langkah amalan lestari yang boleh dilakukan diperladangan kelapa sawit adalah seperti berikut:

1)Menggunakan sumber-sumber yang boleh dijana semula, contohnya semasa penebangan kelapa sawit di kawasan tanaman semula, sisa batang dan pelepah disusun dan dicincang tipis serta dibiarkan reput diladang. Ini boleh memberikan tambahan nilai kesuburan tanah dan boleh mengurangkan penggunaan kos pembajaan. (Khalid H. and Ahmad Tarmizi Mohd. MPOB TT No.416)

2)Memelihara ekosistim flora dan fauna untuk masakini dan generasi yang akan dating dengan mengurangkan penggunaan bahan kimia tetapi berusaha menggunakan bahan-bahan biologi seperti penggunaan Bacillus T. dalam kawalan ulat bungkus Metisa Plana (Sitti Ramlah, Mohd Najib, Mohd Mazmira and Mohd Basri, MPOB TT No. 421)

3)Menggunakan kaedah dan teknologi yang tidak mengancam habitat serta flora dan fauna alam sekitar, seperti penggunaan bahan sungkupan (mulching) yang “degradable” dan penanaman “beneficial plants” untuk menggalakan kembangbiak predator serangga perosak

4)Menggunakan bahan api yang mesra alam seperti kuasa angin dan solar terutama di kawasan pedalaman yang sesuai untuk menjana elektrik dan mengurangkan penggunaan bahan api fosil.

5)Kaedah, sistim dan hasil kerja yang mesti sesuai dan meghargai kepada budaya dan kebiasaan masyarakat setempat. Menggunakan tong-tong kitar semula yang memisahkan bahan-bahan buangan kertas, plastic, botol dan sisa organic yang mudah reput.

6)Dipejabat matikan lampu dibilik yang tidak digunakan. Peralatan seperti komputer dengan monitornya dan mesin fotokopi juga boleh dimatikan semasa tidak digunakan. Ini dapat menjimatkan tenaga dan mengurangkan penggunaan bahan api fosil.

7)Menggunakan bahan-bahan kitar-semula seperti bahan kertas, plastik dan bekas-bekas kaca seperti botol (Internet: Amalan Mesra Alam, www.doe.gov.my).

8)Menerapkan Kawalan Perosak Bersepadu (Integrated Pest Management – IPM) semasa pembangunan penanaman ladang kelapa sawit, pada peringkat umur belum menghasilkan (immature stage) dan juga pada peringkat umur telah menghasilkan (mature stage).

9)Sisa dari kilang kelapa sawit seperti tandan kosong (empty fruit bunch – EFB) boleh dikitar-semula ke ladang dan ini membantu mengurangkan kos pembajaan dan pengawalan rumpai semasa tahap pokok kelapa sawit masih belum menghasilkan (immature stage)



4.2 Mengenalpasti halangan dalam pelaksanaan Amalan Lestari

Apakah halangan yang dihadapi dalam pelaksanaan amalan lestari?

1)Orang ramai secara umumnya masih banyak yang kurang faham dan tidak peka kepada pelaksanaan amalan lestari

2)Sesetengah agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak korporat kurang memberikan perhatian dan tidak menyokong penuh amalan lestari di persekitaran kawasan kerja mereka

3)Bencana alam semulajadi yang boleh mengakibatkan amalan lestari sesuatu habitat terganggu seperti semasa terjadinya gempa bumi, tiupan angin taufan, ombak tsunami dan kemarau yang berpanjangan.

4)Polisi dan peraturan badan kerajaan, agensi non-kerajaan dan swasta yang tidak tegas dan konsisten dalam pelaksanaan amalan lestari. Hal ini menyebabkan tidak ada persediaan kewangan, pelatihan dan peralatan sokongan seperti persediaan tong sampah kitar-semula dan pegawai terlatih untuk membuat pemantauan diladang.

5)Masyarakat terpencil dipedalaman masih tidak tahu tentang informasi amalan lestari dan masih melakukan sistim pertanian berpindah-pindah dan pembakaran terbuka untuk membersihkan kawasan pertanian dan penempatan baru.

6)Penguatkuasaan peraturan dan undang-undang yang tidak bersepadu dan konsisten disebabkan terdapatnya pihak-pihak yang rakus dan mudah dirasuah, mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan kerosakan alam sekitar termasuk generasi mereka sendiri yang akan datang. Penanaman dikawasan hutan lindung tidak dipantau dan mengakibatkan haiwan tersisih dan mungkin akan pupus akibat kerosakan habitat mereka.

7)Pelaksanaan persediaan ladang yang tidak menerapkan sistim piawaian yang ditetapkan seperti menanam di kawasan cerun >20darjah yang boleh mengakibatkan kejadian tanah runtuh.


5.0 KESIMPULAN


"Ekonomi, perniagaan, institusi dan organisasi bukan kerajaan (NGO) global hari ini mendesak pengeluaran produk pertanian yang lebih lestari, termasuk minyak sawit dan dalam memenuhi keperluan ketat keselamatan makanan dan peningkatan kebimbangan akan kelestarian, industri perlu terus menambah baik amalan. "

Tan Sri Bernard Dompok
Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi
Seminar Pemindahan Teknologi MPOB
Sandakan, 24 Ogos, 2009 (Bernama)


Berdasarkan kenyataan menteri tersebut, jelas menunjukkan bahwa sekiranya industri perladangan kelapa sawit Malaysia ingin terus bertahan dan bersaing di persada perniagaan antarabangsa, pendekatan mendasar dalam pengurusan dan pelaksanaan kerja-kerja penanaman, penjagaan, pengambilan buah, pengilangan hasil tanaman dan penyenggaraan semua hasil dan sisa hasil industri mestilah berada di tahap yang diiktiraf secara global.






6.0 RUJUKAN


1)Pembangunan Pelancongan Lestari di Felda Gugusan Trolak: Satu Analisis
Oleh Dr. Fatimah Hassan,USM dan Dr. Fauziah Che Leh, UPSI

2)Blowers A. (1993). Environmental Policy: The Quest for Sustainable Development,
Urban Studies, Volume 30, Numbers 4-5, Numbers 4-5/May 1993 , pp. 775-796(22).

3)UN-FAO, Good Agriculture Practices

4)Code of Practice (Nursery and Good Agriculture Practice), Wahid Omar, MPOB

5)MPOB TOT No.416, Oil Palm Replanting Innovative Technique, Dr. Khalid Harun

6)MPOB TOT No.424, Double-row Avenue System for Crop Integration with Oil Palm, Suboh Ismail, Norkaspi Khasim dan Raja Zulkifli Raja Omar

7)Indeks Pencemar Udara, Jabatan Alam Sekitar, 1997

8)Internet Reference: http://cendawanglobal.blogspot.com/2009_03_01_archive.htm

9)MPOB TT No.421, Bt for Bagworms Control, Sitti Ramlah, Mohd Najib, Mohd Mazmira and Mohd Basri

10)Internet: Amalan Mesra Alam, www.doe.gov.my

11)Seminar Pemindahan Teknologi, MPOB, Sandakan, 24 Ogos, 2009 (Bernama)